Friday, September 24, 2010

Pilihlah Destinasi Yang Selamat

Ke mana destinasi percutian anda selepas ini? Tidak kira di dalam negara mahupun di luar negara perkara utama yang patut kita beri keutamaan adalah soal keselamatan. Keselamatan untuk diri kita dan juga situasi semasa tempat yang kita ingin kunjungi itu.
Namun ada ketikanya kita terperangkap dalam percaturan memilih destinasi percutian kita apabila kita memilih destinasi yang berisiko tinggi. Memang betul kita tidak boleh menduga apa yang akan berlaku kepada diri kita kerana itu semua menjadi ketentuan Tuhan yang Maha Esa. Tapi kita hendaklah sentiasa berwaspada dalam apa juga tindakkan kita khususnya dalam memilih destinasi percutian yang selamat untuk kita kunjungi. Kita juga boleh merujuk nasihat perjalanan ke luar negara yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan seperti Wisma Putra umpamanya.
Sebelum kita membuat pilihan untuk melancong ke luar negara umpamanya, pastikan kita merujuk di akhbar, televisyen atau internet untuk mendapatkan maklumat terkini tentang negara yang ingin kita kunjungi itu.
Rusuhan dan demonstrasi jalanan yang berlaku di Jakarta baru-baru ini umpamanya menjadi ‘signal’ untuk kita lebih berhati-hati untuk berkunjung ke destinasi tersebut. Tindakan agresif segelintir penunjuk perasaan yang ingin mengusir rakyat Malaysia dari negara tersebut dilihat sabagai satu ancaman yang bakal menggugat keselamatan kita di negara tersebut.
Bukan di Jakarta sahaja, malah di Bangkok, Thailand juga kita dikejutkan dengan pelbagai laporan keganasan demonstrasi jalanan yang menggugat keselamatan pelancong.
Saya bukan bermaksud menghalang anda pergi bercuti ke negara terbabit, namun buat masa ini elok kiranya kita tukar haluan kita ke destinasi yang lebih selamat. Buat apa kita menggadaikan nyawa kita semata-mata untuk mendapatkan sedikit keseronokan di destinasi tersebut.
Negara kita, Malaysia tidak pernah ‘miskin’ dengan destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi. Dari produk pelancongan berasaskan alam semula jadi sehinggalah warisan seni dan budaya. Semuanya ada di negara ini. Pulau Langkawi yang kita ada jauh lebih banyak tarikannya jika dibandingkan dengan Bali. Ingin membeli-belah? Negara kita tidak kurang hebatnya menawarkan pelbagai produk barangan daripada yang berjenama terkenal sehinggalah produk bebas cukai yang dijual pada harga termampu.
Saya ada juga bertanya kepada rakan saya yang sering bercuti ke Jakarta dan Bali. Mengapa destinasi itu sering menjadi pilihannya? Jawabnya di Jakarta dia dapat shopping sakan pada harga yang murah dan di Bali pula indah dengan suasana pantai dan budayanya.
Memang itulah yang dicari-cari oleh kebanyakkan rakyat kita yang pergi melancong ke ‘tanah seberang’. Belanjanya juga murah dan soal komunikasi dengan orang sana juga mudah. Inilah yang menambat hati rakyat kita berkunjung ke sana.
Sama ada kita sedar ataupun tidak kos untuk pelancong dari Kuala Lumpur untuk melancong ke Jakarta jauh lebih murah jika dibandingkan dengan kos untuk melancong ke Kota Kinabalu, Sabah. Faktor ini juga antara penyebab orang kita lebih selesa untuk melancong ke Jakarta atau Bandung. Hakikat ini kita tidak dapat nafikan walaupun kita cuba mengatakan bahawa melancong di dalam negara lebih berbaloi.
Apa yang pasti pelancong Malaysia merupakan kumpulan terbesar pelancong yang berkunjung ke Indonesia sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan di negara tersebut.
Kehadiran pelancong dari Malaysia sesungguhnya memberi seribu rahmat buat industri pelancongan di Indonesia. Apa yang dikesali adalah tindakan segelintir penunjuk perasaan Indonesia yang bertindak mengusir rakyat Malaysia yang pergi melancong ke negara tersebut dilihat sebagai satu penghinaan kepada rakyat kita. Jika itu yang mereka mahu, kita sebenarnya tidak rugi apa-apa. Malah kita rasa simpati, jika rakyat Malaysia tidak pergi melancong ke sana, barangkali sumber pendapatan mereka yang terlibat dalam industri pelancongan akan terjejas.
Tindakan ‘kurang bijak’ yang dilakukan oleh segelintir penunjuk perasaan di Jakarta ibarat menabur pasir ke dalam periuk nasi sendiri. Apa yang kita harapkan adalah keadaan akan kembali aman dan tenang sekali gus memberikan manfaat untuk kita bersama. Usaha dan tindakan pihak kerajaan kedua-dua belah negara diharapkan dalam mengembalikan sinar kegemilangan industri pelancongan di rantau ini. Kestablian sosio politik negara amat penting dalam menjana perkembangan industri pelancongan tidak kira sama ada di Malaysia dan Indonesia.
Buat masa ini kita harus bertindak secara bijaksana dan tidak terlalu mengikut emosi. Kita sebenarnya mempunyai banyak pilihan untuk memilih destinasi percutian yang sesuai untuk kita dan apa yang paling penting adalah destinasi yang selamat untuk kita kunjungi. Elok kiranya kita rancangkan percutian kita dengan cara yang terbaik demi memastikan detik indah percutian kita tidak bertukar menjadi satu tragedi. Usah ambil risiko, pilihlah destinasi yang selamat untuk dikunjungi.