Saturday, May 3, 2008

Riadah Hujung Minggu

Hujung minggu adalah masa yang sering ditunggu-tunggu. Bagi anda yang mempunyai rutin tugasan di tempat kerja yang membosankan, cuti hujung minggu sesungguhnya nikmat yang cukup berharga dalam kehidupan.
Walaupun cuma satu hari setengah atau ada juga organisasi yang bercuti dua hari seminggu, namun itu sudah cukup memberikan kelegaan selepas sepanjang minggu berhadapan dengan tugasan yang membebankan.
Bila tiba hujung minggu, ada yang hanya berehat di rumah sahaja. Ada juga yang menggunakan masa yang ada untuk pergi berkhelah bersama rakan-rakan ataupun keluarga ke destinasi-destinasi percutian. Apa yang pasti masa cuti hujung minggu akan digunakan sebaik-baiknya untuk aktiviti bermanfaat sekali gus menghilangkan segala tekanan atau stress.Tidak cukup dengan itu, ada juga yang sanggup mengambil cuti tambahan pada hari Isnin kerana mungkin inginkan masa riadah yang lebih panjang.
Dalam kita sibuk mencari tempat untuk beriadah pada hujung minggu, kita perlu mengambil kira beberapa faktor penting agar masa cuti hujung minggu kita dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Paling penting kita dapat memulakan tugas pada minggu yang baru dengan lebih ceria dan bertenaga selepas cuti hujung minggu.
Jika anda memilih untuk mengisi masa cuti hujung minggu anda dengan berkunjung ke destinasi percutian, maka pilihlah destinasi percutian yang tidak terlalu jauh daripada tempat tinggal anda. Elakkan memilih destinasi yang terlalu jauh. Jika boleh destinasi yang dipilih itu jangan lebih daripada 3 jam masa perjalanan. Jika jarak perjalanan menuju ke destinasi itu terlalu jauh dan memakan masa yang lama, kita mungkin akan bosan dan letih mengharungi perjalanan tersebut. Bila balik dari bercuti badan pula terasa letih, cuti hujung minggu yang sepatutnya masa untuk kita merehatkan minda bertukar menjadi stress pula. Jadi saya sarankan kita carilah destinasi percutian yang berhampiran dan menyeronokkan.
Ada banyak destinasi percutian yang boleh kita pergi pada cuti hujung minggu. Bagi anda yang tinggal di sekitar Lembah Klang, anda boleh berkunjung ke taman tema seperti Sunway Lagoon ataupun Genting Highland. Ada pelbagai aktiviti rekreasi yang boleh kita lakukan di sana. Tidak kira bersama keluarga ataupun rakan-rakan kita boleh mengutip detik-detik meriangkan tanpa perlu pergi jauh. Walaupun cuma sehari di taman tema namun ia tentunya cukup untuk kita berikan lontarkan kasih sayang kita kepada keluarga ataupun kawan-kawan. Justeru kita dapat meluangkan masa berkualiti pada hujung minggu bersama insan tersayang dapat kita gunakan dengan sempurna.Buatlah pilihan destinasi yang sesuai agar percutian anda lebih ‘riang dan selesa’.

No comments: