Alhamdulillah, syukur kepada Tuhan yang Maha Esa industri pelancongan negara terus berkembang dan kini merupakan sektor kedua tertinggi yang menyumbangkan kepada pendapatan negara. Justeru negara kita kini tampil sebagai sebuah negara pelancongan yang paling popular di rantau ini dengan mencatatkan kehadiran pelancong yang tertinggi di Asia Pasifik.
Tapi ramai yang tidak sedar bahawa industri pelancongan adalah industri yang cukup sensitif. Dalam konteks pelancongan faktor kestabilan politik dan ekonomi negara juga banyak mempengaruhi perkembangan industri pelancongan negara. Secantik manapun atau sebanyak manapun produk pelancongan di negara tersebut, ianya belum tentu dapat menarik pelacong khususnya pelancong asing untuk datang ke negara tersebut jika keadaan di negara tersebut kacau bilau sehingga menggugat keselamatan ketika melancong.
Rusuhan dan demonstrasi jalanan yang berlaku di ibu negara Kuala Lumpur baru-baru ini dan di Kuala Terengganu tidak berapa lama dahulu bukan sahaja memberikan implikasi negatif terhadap imej negara malah turut menarik kemajuan industri pelancongan ke kancah kehancuran.
Tahun 2007 merupakan tahun penting dalam industri pelancongan negara kerana tahun ini kita sedang rancak mempromosikan industri pelancongan negara bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2007. Kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit dalam usaha menarik kunjungan pelancong asing ke negara ini menerusi kempen besar-besaran. Hasil daripada pelaburan yang besar ini, kesan kejayaan industri pelancongan negara dapat dinikmati bukan sahaja oleh mereka yang terlibat secara langsung dengan sektor pelancongan tetapi semua peringkat masyarakat. Peniaga kecil, pengusaha gerai makan, pemandu teksi dan ramai lagi ‘orang kita’ yang akan mendapat percikan nikmat dari limpahan pelancong asing yang datang ke negara kita.
Tetapi jika kekacauan seperti demonstrasi jalanan ini masih terus menjadi budaya dalam negara kita, janganlah kita mengharapkan pelancong asing akan datang berduyun-duyun ke negara kita. Usahlah kita angankan pelancong asing akan datang melancong dan berbelanja di negara kita.
Cuba kita lihat kesan serangan bom di Bali, Indonesia. Sampai sekarang kesannya memberikan imej negatif terhadap destinasi pelancongan bertaraf dunia itu. Cuba pula kita lihat apa yang berlaku di Myanmar dan Pakistan baru-baru ini. Saya percaya anda sendiripun takut untuk bercuti ke negara tersebut.
Secara logiknya pelancong akan memilih destinasi pelancongan yang selamat untuk dilawati. Dalam merancang percutian kita tidak boleh berkompromi dengan faktor keselamatan. Rata-rata meletakkan faktor keselamatan sebagai faktor utama dalam memilih destinasi percutian mereka.
Jangan tunggu pelancong asing datang berduyun-duyun lagi ke negara kita buat masa ini kerana kesan demonstrasi jalanan tersebut sukar untuk dipadamkan mungkin untuk tempoh 6 bulan hingga 1 tahun lagi. Lebih-lebih lagi dengan liputan agensi-agensi berita asing yang ‘tanpa jemu’ menyajikan berita-berita ‘panas’ demonstrasi jalanan di Malaysia di kepada seluruh masyarakat dunia. Justeru apakah tindakan kita dalam memastikan industri pelancongan negara terus mantap dan berkembang maju? Apakah sumbangan anda untuk memastikan industri pelancongan ini terus maju? Apa yang pasti kita perlu lakukan sesuatu dan tidak hanya duduk diam sahaja. Kita harus mempertingkatkan kemajuan industri pelancongan domestik kita dahulu mulai sekarang!
Hentikan demonstrasi jalanan! Hentikan keganasan yang banyak mengundang kesan jangka panjang yang negatif terhadap industri pelancongan negara. Marilah kita bertindak secara bijak dan janganlah mengikut perasaan. Industri pelancongan bukan milik sesetengah pihak dan parti politik tertentu sahaja. Ia milik semua masyarakat Malaysia. Dalam konteks pelancongan kita harus bersatu hati dalam menjayakan aspirasi bersama tanpa mengira latar belakang parti politik. Kita semua adalah aset pelancongan yang cukup berharga.Keamanan, kedamaian dan keharmonian masyarakatnya adalah aset pelancongan negara yang paling penting. Jangan jadikan diri kita sebagai perosak industri pelancongan negara.
No comments:
Post a Comment