Bila bercakap soal kebersihan, ramai yang melihat perkara ini sebagai isu remeh. Sehingga ada yang berkata apa pentingnya kebersihan kepada industri pelancongan kita sedangkan di negara kini semakin popular di kalangan pelancong asing. Pada tahun lepas sahaja lebih 21.4 juta pelancong asing telah datang ke negara kita dan ini menunjukkan bahawa pelancong asing kini lebih cenderung memilih untuk melancong ke Malaysia.
Sama ada kita sedar atau pun tidak, walaupun kita melihat soal kebersihan sebagai perkara remeh pada hakikatnya kebersihan adalah faktor penting dalam memastikan kejayaan industri pelancongan negara.
Saya berani menyatakan di sini bahawa industri pelancongan tidak akan berupaya menarik pelancong asing untuk menetap lebih lama di negara ini sekiranya faktor kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar diabaikan.
Ramai diantara kita yang terlalu ingin menonjolkan negara sebagai destinasi pelancongan sehingga melupakan aspek kebersihan dan pemeliharaan produk pelancongan sedia ada.
Saya percaya tanpa menitik-beratkan soal kebersihan ia adalah satu pendekatan yang tidak bijak kerana setiap pelancong yang datang pasti akan menilai kebersihan alam sekitar di tempat terbabit. Cuba bayangkan jika anda berkunjung ke tepi pantai, tetapi disekitarnya penuh dengan sampah sarap tin-tin kosong dan botol kaca berselerak. Ditambahkan lagi dengan lalat-lalat berkeliaran di merata tempat. Adakah anda rasa selesa bercuti di kawasan tersebut? Sekiranya situasi sebeginilah yang dilihat oleh pelancong asing, mereka pasti tidak akan datang lagi ke tempat tersebut.
Apa yang pasti soal kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar ini adalah perkara asas dalam menentukan kejayaan industri pelancongan. Namun apa yang menghalang usaha tersebut adalah sikap dan mentaliti masyarakat khususnya pengusaha produk pelancongan yang sukar diubah dalam tempoh singkat. Kita harus memupuk kesedaran terhadap kepentingan memelihara alam sekitar secara berterusan. Jika semua pihak dapat memberikan kerjasama dan lebih bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar, semua pihak akan mendapat manfaatnya khususnya dari sektor pelancongan. Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri sambil berpesan-pesan kepada anda semua agar marilah kita sama-sama menjaga kebersihan dan alam sekitar kita demi untuk masa depan industri pelancongan kita. Jadikan amalan menjaga kebersihan sebagai satu sumbangan kita kepada negara dalam menjayakan aspirasi negara kita untuk menjadi destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
No comments:
Post a Comment