Syukur Alhamdulillah, negara kita kini semakin tersohor sebagai sebuah destinasi pelancongan pilihan utama terutama sekali di kalangan pelancong asing. Perkembangan positif ini sesungguhnya memberikan khabar gembira buat seluruh penggiat industri pelancongan khususnya pengusaha hotel dan resort tanah air.
Rasa bangga terpatri di hati apabila dapat melihat industri pelancongan kita yang kian berkembang pesat dengan munculnya banyak hotel-hotel bertaraf antarabangsa di ibu kota. Lebih bangga lagi apabila hotel tersebut dimiliki dan diuruskan sendiri oleh 'orang tempatan'. Inilah yang dinamakan Malaysian Hospitality.
Baru-baru ini saya berpeluang untuk menginap di sebuah hotel di tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Sampai di lobi hotel berkenaan saya disambut oleh penyambut tetamu. Paras rupanya nampak asing. Dari segi percakapannya membuktikan dia bukan warga tempatan. Apa yang pasti dia adalah warga asing yang mungkin berasal dari Myanmar atau Vietnam. Di satu sudut yang lain pula kelihatan seorang pengawal keselamatan yang sememangnya berasal dari Bangladesh.
Saya terus sahaja mengusung beg saya untuk check in. Dalam perjalanan saya ke bilik, saya lihat ada beberapa orang pekerja pengemas bilik yang sedang sibuk berborak dalam bahasa Indonesia. Sudah pasti pekerja pengemas bilik itu berasal dari Indonesia.
Cerita ini tidak terhenti di situ sahaja. Pada sebelah malamnya saya sempat bersantai sambil minum kopi bersama rakan saya di coffee house hotel dan menyaksikan persembahan muzik 'live band'. Menurut salah seorang petugas di hotel itu, kumpulan pemuzik 'live band' tersebut datangnya dari Filipina. Saya juga difahamkan Pengurus Besar hotel berkenaan juga bukan orang tempatan. Bukan hotel itu sahaja malah kebanyakan hotel lebih gemar mengambil 'Mat Salleh' sebagai Pengurus Besar. Khabarnya jika 'Mat Salleh' jadi GM baru ada 'class' dan nampak internasional! Walau bagaimanapun saya ucapkan 'tahniah' kepada hotel tersebut kerana telah memenangi Anugerah Pelancongan Malaysia 2009 baru-baru ini.
Saya menarik nafas panjang, betulkah saya ini berada di Malaysia atau di luar negara. Hampir setiap sudut dan bidang tugas di hotel berkenaan diisi dengan pekerja asing. Ke manakah perginya pekerja hotel tempatan yang membawa imej 1 Malaysia? Adakah warga tempatan kita tidak berkredibiliti atau tidak setanding dengan orang asing. Atau warga kita sebenarnya yang terlalu memilih pekerjaan sehinggakan jawatan tersebut terpaksa diisi oleh warga asing. Memang perkara ini bukan lagi 'luar biasa' di negara kita kerana kita dapat lihat perkara yang serupa di kebanyakan hotel di negara ini. Mungkin anda tidak perasan atau tak ambil kisah. Tapi inilah hakikatnya senario yang boleh anda saksikan sendiri di hotel-hotel kita.Bagaimanakah kita dapat menonjolkan imej Malaysia kepada pelancong asing sedangkan hotel-hotel kita dipenuhi dengan 'wajah-wajah' warga asing? Mengapa ini berlaku sedangkan kita sepatutnya lebih peka terhadap perkara ini walaupun ada yang menganggapnya satu perkara yang remeh.
Slogan yang dilaungkan oleh pihak Tourism Malaysia dalam mempromosikan Malaysia di luar negara iaitu 'Malaysia Truly Asia' harus kita fahami dalam erti kata yang sebenar. 'Malaysia Truly Asia' sepatutnya menonjolkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni dengan masyarakat yang pelbagai kaum. Bukannya hotel yang terdiri daripada pekerja asing dari pelbagai negara walaupun dari negara Asia!
Saya berharap pihak tertentu khususnya Kementerian Pelancongan agar dapat memantau operasi hotel-hotel kita ini agar imej Malaysia dapat kita tonjolkan dengan lebih jelas dan tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan pelancong asing. Sekali sekala apa salahnya 'orang kuat' pelancongan turun padang untuk meninjau sendiri hotel-hotel atau resort di negara ini. Mungkin ada banyak lagi perkara yang boleh diperbaiki.
Saya tidak nafikan ada juga hotel-hotel kita yang mempunyai inisiatif murni dalam menonjolkan aspirasi Malaysia. Baru-baru ini saya sempat singgah di The Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur yang terletak berhampiran dengan Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Dari segi reka bentuk hotel sehinggalah kepada pakaian petugasnya semuanya menampilkan imej tradisi masyarakat Melayu. Begitu juga kakitangannya saya dapat lihat semuanya 'berwajah' anak tempatan. Penyambut tetamunya pula segak berpakaian songket tempatan. Lebih daripada itu 'Live Band' di hotel tersebut juga turut diisi dengan kumpulan muzik tempatan iaitu kumpulan Alleycat. Tahniah kepada pengurusan hotel tersebut yang telah berusaha kearah memartabatkan budaya dan seni tempatan. Semoga usaha ini dapat dicontohi oleh hotel-hotel yang lain. Alangkah indahnya budaya tempatan kita. Jika kita sendiri tidak menghargainya siapa lagi yang akan menjaganya? Tepuk dada tanya selera!
No comments:
Post a Comment