Wednesday, April 7, 2010

Nasib Agensi Pelancongan Tempatan

Meriah sungguh industri pelancongan kita. Kehadiran lebih 24 juta orang pelancong ke negara kita pada tahun lalu membuktikan betapa pesatnya industri pelancongan kita. Jika itu belum cukup membuktikan 'kemeriahan' industri pelancongan negara kita cuba pula kita perhatikan pameran-pameran yang berkaitan dengan industri pelancongan seperti MATTA Fair. Seperti kebiasaannya setiap kali berlangsungnya MATTA Fair yang diadakan dua kali setahun kita dapat saksikan puluhan ribu orang akan membanjiri pameran tersebut semata-mata untuk mendapatkan pakej-pakej pelancongan pada harga terbaik.
Tapi di sebalik 'kemeriahan' industri pelancongan kita masa kini cuba kita renung sejenak siapa yang untung dan siapa yang rugi? Siapa yang ambil kesempatan dan siapa yang ambil apa yang sempat? Mungkin kenyataan saya ini nampak lucu tapi sama ada kita sedar ataupun tidak industri pelancongan kita masa kini sebenarnya masih banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki. Sebenarnya industri pelancongan kita boleh 'pergi' lebih jauh lagi.
Dalam hal ini anda mungkin beranggapan agensi pelanconganlah yang paling 'beruntung' di sebalik kejayaan industri pelancongan hari ini. Benarkan mereka (pengusaha agensi pelancongan) yang paling banyak 'buat duit' ketika ini. Jawapannya mungkin 'Tidak'! Jika tidak kenapa pula? Tahukah anda mengusahakan agensi pelancongan bukanlah mudah seperti yang disangkakan. Selain risiko pembatalan tempahan pakej pada saat akhir oleh pelanggan, agensi pelancongan kini terpaksa bersaing untuk mendapatkan pelanggan bukan sahaja dikalangan sesama agensi pelancongan malah kini berhadapan pula dengan pesaing baru.
Apa yang lebih meresahkan agensi pelancongan adalah pesaing tersebut terdiri daripada pengusaha industri sokongan pelancongan seperti pengusaha hotel atau resort dan pengangkutan pelancongan seperti syarikat penerbangan, keretapi dan bas ekspres.
Sama ada kita sedar atau tidak, pengusaha industri sokongan pelancongan ini turut menawarkan perkhidmatan seperti agensi pelancongan iaitu dengan menawarkan pakej-pakej pelancongan. Lebih dari itu mereka menawarkan pakej tersebut pada harga yang jauh lebih murah daripada apa yang ditawarkan oleh pihak agensi pelancongan. Baru-baru ini ada sebuah syarikat penerbangan tempatan secara terang-terangan melancarkan pakej-pakej pelancongan secara on-line. Saya percaya bukan satu malah hampir semua syarikat penerbangan tempatan turut menawarkan pakej-pakej pelancongan sama ada untuk destinasi domestik dan antarabangsa. Aduhai, cukup-cukup lah itu. Kalau semua orang nak jual pakej pelancongan, macam mana agensi pelancongan nak 'cari makan'.
Tidak cukup dengan cabaran tersebut, nasib agensi pelancongan turut dihantui dengan pesaing agensi pelancongan haram dan juga pihak-pihak yang 'menjual' pakej-pakej pelancongan menerusi internet. Malah penjual-penjual pakej pelancongan menerusi internet ini yang kebanyakannya tiada lesen telah mengaut keuntungan yang jauh lebih besar dengan modal yang kecil.
Saya berharap ada sinar baru dalam industri pelancongan negara dan berharap pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan akan memantau kegiatan yang akan merosakkan industri pelancongan kita ini. Saya juga berharap kepimpinan MATTA yang baru akan lebih prihatin terhadap nasib ahli-ahlinya yang selama ini begitu dahagakan pembelaan.

No comments: