Thursday, April 8, 2010

Pelancongan Memupuk Perpaduan Antara Kaum


Salam Satu Malaysia. Suasana ketidaksefahaman antara kaum di negara kita kebelakangan ini amat mengecewakan bukan sahaja buat diri saya malah ramai lagi yang dapat merasakan apa yang saya rasakan. Lebih teruk lagi keadaan yang agak ‘keruh’ ini diburukkan lagi dengan campur tangan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan isu-isu perkauman yang sensitif.
Bagi saya isu-isu sensitif yang merenggangkan hubungan kita antara kaum tidak sepatutnya berlaku dalam dunia hari ini. Saya terpanggil untuk membincangkan isu ini dalam konteks pelancongan. Sebenarnya menerusi pelancongan kita dapat membentuk satu jalinan perpaduan yang kukuh antara kaum.
Saya masih teringat pada satu masa ketika itu saya menyertai satu rombongan percutian ke Kelantan bersama media. Kesemua peserta rombongan terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk Melayu, Cina, India dan ada juga yang dari keturunan Iban. Walaupun pada mulanya kami rasa agak janggal untuk berbicara, namun setelah sehari bersama, bibit-bibit kemesraan mula timbul. Walaupun saya kurang mempunyai kawan dari kaum lain tapi menerusi rombongan tersebut saya dapat mengenali dengan lebih dekat lagi budaya serta adat kaum yang lain. Tak kenal maka tak cinta. Setelah kenal rakan-rakan dari kaum yang berbeza itu maka timbul rasa sayang. Bukan sayang sebagai kekasih tapi sayang sebagai sahabat walaupun kami dari kaum yang berbeza.Nak dijadikan cerita, dalam rombongan itu juga terjadi satu insiden di mana salah seorang peserta berketurunan Cina bernama Ah Leng telah mengalami sakit demam panas. Waktu itu sudah larut malam. Dia mengetuk pintu bilik saya minta bantuan. Tanpa berlengah saya dan rakan sebilik saya berketurunan India membawa Ah Leng ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Syukur semuanya selamat. Dalam hal ini perbezaan kaum bukan penghalang untuk kami membantu di antara satu sama lain lebih-lebih lagi pada waktu kecemasan. Selepas peristiwa itu Ah Leng menyatakan tanggapan buruknya selama ini terhadap orang dari kaum yang berbeza khususnya Melayu dan India sudah tiada lagi dalam hatinya. Saya pula cuba meletakkan diri saya di dalam situasi Ah Leng, kalaulah tiada orang dari kaum lain yang sudi menolong saya, apa yang akan jadi pada saya. Mungkin hari ini saya tolong dia, mana tahu suatu hari dia tolong saya pula. Walaupun bantuan saya itu tidaklah sebesar mana, tetapi kesannya amat besar dalam mengeratkan lagi perpaduan antara kaum. Sehingga kini kami masih berhubung dan bertanya khabar malah hubungan yang terjalin seumpama adik beradik. Lebih dari itu, sekiranya ada kawan-kawan dia yang menyatakan bahawa orang Melayu atau India ‘jahat’, maka dialah orang pertama yang akan membela kaum Melayu atau India dan menceritakan pengalamannya dibantu oleh orang Melayu dan India semasa dia dalam kesusahan. Saya sungguh rasa terharu dengan nilai persahabatan ini. Pengalaman yang saya lalui ini mungkin contoh kecil bagaimana menerusi pelancongan kita dapat memupuk semangat perpaduan antara kaum. Saya percaya menerusi pelancongan kita akan dapat mengenal dengan lebih dekat lagi kawan-kawan kita yang terdiri dari kaum yang berbeza. Yakinlah bahawa sebenarnya hubungan yang ‘dingin’ antara kaum di negara ini dapat dipulihkan menerusi ‘Terapi Pelancongan’.

No comments: